Product Information :
Majalah Solusi Edisi Ke 3 ini memfokuskan kepada impak dosa yang mana bila krisis timpa menimpa, resah melanda jiwa, seluruh sistem hidup jadi celaru dan sengketa sesama manusia menjadi-jadi. Majalah Solusi dimulakan dengan ruangan tafsir yang ditulis oleh Ustaz Hj Zahazan Mohamed yang membicarakan ‘Menekuni Uslub Dakwah Rasulullah’. Dalam artikel ini ada digariskan 3 uslub dakwah menyeru manusia kepada Islam yang membolehkan Islam berkembang dalam masa yang singkat, diterima dan diamalkan oleh berbilion manusia dari latar belakang yang berbeza. Ustaz Adlan Abd Aziz pula menulis dalam ruangan hadis dengan artikel bertajuk ‘Sinergi Ketakwaan – Bantu Membantu Dalam Perkara Kebaikan Dan Ketakwaan’. Pahrol Mohamad Juoi pula menulis artikel yang mengupas isu ‘Dosa – Melanggar Syariatullah Dan Sunnatullah’ yang mana bencana akan datang bila manusia melanggar hukum Allah. Beliau juga menerangkan cara untuk mencegahnya. Beliau juga menulis artikel ‘Sandera Cinta – Cinta Bukan Bererti Memiliki’ yang menegaskan cinta Allah sebagai asas dalam percintaan setiap pasangan. Selain itu, beliau juga menulis tentang ‘Kenapa Tauhid Gagal Memerangi Dosa? Merawat Pendosa Dengan Akidah Dan Tauhid’. Manakala Abu Irdak pula menulis ‘Ibrah (pengajaran) Daripada Pendosa’ yang mengupas isi kandungan Al-Quran tentang 8 kaum yang dibinasakan dan 8 bencara yang didatangkan oleh Allah terhadap mereka. ‘Budaya Dosa! Apabila Dosa Rasuah Yang Luar Biasa, Dianggap Biasa’ dikupas oleh Muhammad Jihad. Juga diberi gambaran memberi dan menerima rasuah adalah satu kemahiran dalam perniagaan dan pentadbiran seperti filem Sivaji The Boss. Mohd Zamerey Abd Razak menulis tentang ‘Riba Punca Krisis Kewangan Global – Apabila Allah Perangi Sistem Kapitalis’. Beliau juga menggariskan tindakan untuk memperkasakan sistem perbankan Islam. ‘Siapa Anda?’ itulah isu yang dikupas oleh Ahmad Salim Haji Omar yang menghuraikan peranan dan fungsi manusia di muka bumi ini. Rohidzir Rais pula cuba ‘Menjejaki Sang Pencipta melalui Big Bang’ dengan 4 jejak. Juga dimuatkan pandangan Saintis bukan Islam tentang Big Bang dan penciptaan alam semesta. Beliau juga mengulas ‘Fenomena Upin & Ipin’ yang menjulang nama Malaysia. Juga disertakan ulasan penonton Malaysia dan Indonesia melalui laman web dan blog. Selain itu, beliau juga menulis artikel bertajuk ‘Pohon Tauhid Berbenih Iman’ yang turut menyenaraikan tips menyemai iman dalam diri anak-anak. ‘Aktiviti Outdoor Di Hujung Minggu’ digariskan oleh Hj Muhammad Zakaria termasuk bagaimana menyusun agenda hujung minggu, bahaya aktiviti luar dan cara memastikan keselamatan daripada bahaya aktiviti luar. Imam Global pula menceritakan tentang ‘Macam Mana Nak Jadi Baik?’ yang menekankan kepentingan solat ke arah menjadi manusia yang lebih baik. ‘Lagi Terperinci, Lagi Rendah Kualiti Bila Hidup Tidak Secara Islam’ tulisan Hasrizal Abdul Jamil yang terkenal dengan laman web www.saifulislam.com pula menceritakan pengalaman peribadinya menerangkan bagaimana hendak membaca kitab Arab yang tidak berbaris kepada pelajarnya. Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman pula menulis tentang ‘Keagungan Makkah Pada Nama-Namanya Yang Hebat – Indah Khabar, Lebih Indah Rupa’. Ustaz Zaharuddin Abd Rahman pula mempersoalkan perbankan Islam sepi daripada pelanggan muslim? Beliau juga mendedahkan non-muslim lebih percayakan perbankan Islam. Beliau juga menjawab persoalan pembaca dalam ruangan ‘Soal Jawab Muamalat’. Kemahiran keibubapaan dikupas oleh Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah dalam artikel bertajuk ‘Cara Berbeza Mendidik Anak-Anak’ yang menggariskan cara didikan utama kepada anak lelaki dan anak perempuan. Rashidah Mustaffa menulis artikel berkaitan anak-anak yang bertajuk ‘Riadah Yang Sihat Daripada Peribadi Yang Kuat’ menceritakan bagaimana dengan bermain dapat mendatangkan kecergasan badan, melatih pancaindera, mengelak daripada bermalas-malas dan memberi keseronokan dalam kehidupan kanak-kanak. Dalam ruangan Kembara, Hj Muhammad Zakaria sekali lagi menyumbangkan cerita melalui artikel yang bertajuk ‘Gempa Bumi Yokyakarta’. Fatimah Syarha Mohd Noordin pula menulis artikel bertajuk ‘Menjawab Persoalan Hidup Dengan Wahyu’ dengan menjawab 3 persoalan utama dalam kehidupan setiap insan. Beliau seterusnya menulis dalam ‘Memo Untuk Anak Penzina’ yang memberikan semangat kepada golongan anak yang tidak berdosa ini. Pemegang amanah dan pentadbir pusaka bukan pemilik sebenar pusaka dihuraikan oleh Ustaz Ghazali Ibrahim dengan artikel bertajuk ‘Pemegang Amanah Yang Mencabul Amanah’ yang menekankan kepentingan merancang pusaka semasa hidup. Rohidzir Rais sekali lagi menulis artikel berkaitan darah wanita yang mana wanita boleh mengeluarkan 3 jenis darah berbeza daripada saluran yang sama yang meraikan uruf teknologi untuk mengenal pasti jenis darah tersebut. Dalam ruangan Intisari Pedoman Daripada Sirah (i-pods), Mohd Azrul Azlen Abd Hamid menceritakan perihal Gua Hira’ dan peperangan Uhud. Ustaz Mohd Wahid Abd Hanif pula berkongsi rawatan perubatan Rasulullah iaitu berbekam. Beliau mendedahkan kebaikan berbekam, waktu terbaik untuk berbekam, jenis bekam, alat berbekam dan larangan berbekam. ‘Soal Jawab Solat’ dan ‘Fiqah Amali’ pula dijawab oleh Ustaz Fadzli al-Yamani. Abu Asif pula memaparkan kisah seorang anak yang mempunyai ayah yang curang dan anak itu sendiri mula menjadi anak derhaka sehingga sanggup mendoakan ayahnya agar cepat mati. Bagaimana untuk menangani situasi ini diterangkan dalam artikel ‘Tuhan Matikan Ayahku’. ‘Kisah Minyak Atar Dan Kayu Sugi’ ditulis oleh Dato’ Dr Mahmood Zuhdi yang mengajak kita mempraktikkan sunah yang sesuai dengan peredaran zaman. Zuraimi Ismail pula menceritakan kisah al-Syafii. ‘Syariah Rabbaniyah – Teguh, Sempurna Dan Benar’ ditulis oleh Dr Abd Basit Hj Abdul Rahman yang menerangkan bahawa syariah Islam sangat luas, prinsip dan hukumnya menyentuh semua hal kehidupan, meliputi semua hajat dan keperluan manusia, dinyatakan metlamat kejadiannya dan ditetapkan peraturan hubungannya dengan Allah. Ustaz Mohd Wahid And Hanif pula menceritakan satu kaum yang telah musnah iaitu Kaum Thamud yang merupakan pakar reka bentuk rumah daripada bukit-bukit batu. “Soal Jawab Munakahat’ dijawab dengan teliti oleh Ustaz Badli Shah Alauddin yang berkisar dengan tajuk ‘Ayah Tidak Mahu Mewalikan Saya’. Ahmad Fadli Yusuf menulis artikel bertajuk ‘Orang Marah? Jangan Takut, Hadapi Dengan Bijaksana’ yang berkongsi tindakan yang perlu diambil bagi menghadapi orang yang marah. Sekali lagi Ustaz Hj Zahazan Mohamed menulis sebuah artikel bertajuk ‘Kiamat Akan Berlaku – Logiknya Tidak Akan Dapat Disangkal’. Antara ruangan lain yang turut dimuatkan dalam Majalah Solusi Edisi 3 ini adalah ruangan Bersembang Dengan Ustaz, puisi, Angguk Geleng yang menghimpunkan kisah jenaka dakwah dan juga ruangan Pelik Tapi Benar. Majalah Solusi Edisi Ke 3 ini mengandungi 109 muka surat. |
Thursday, 24 March 2011
Majalah Solusi Edisi 3
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment